Farah Sauffiah menyusu botol walaupun ketika menyiapkan kerja sekolahnya.
SEREMBAN – Seorang pelajar ketagih menghisap susu botol meskipun usianya kini mencecah 14 tahun.
Farah Sauffiah Rahmat yang bersekolah di Sekolah Menengah (SM) Tuanku Ampuan Durah di sini, harus menyusu lebih 15 botol sehari.
Ketagihan Farah Sauffiah bermula sejak kecil menyebabkan dia perlu
menyusu hampir setiap jam termasuk ketika melakukan kerja rumah dan
sekolah.
Farah Sauffiah yang ditemui di rumahnya di Taman Desa Kiara, Sikamat, di
sini, berkata, dia kurang minat makan nasi dan minuman lain.
“Rasa susu yang sedap membuatkan saya kurang berminat dengan minuman
lain dan kadangkala saya tidak makan nasi seharian, sebaliknya hanya
menyusu sahaja.
“Menghisap susu botol sudah menjadi rutin seharian. Meskipun tidak kena
pada usia, saya tetap akan menyusu sampai bila-bila,” katanya.
Menurutnya, tabiat menghisap susu botol diketahui rakan sekolahnya namun
dia tidak pernah diejek rakan meskipun ia nampak pelik dan janggal.
“Kawan sekolah tahu saya hisap susu botol tetapi mereka tidak pernah ejek dan perli saya.
“Saya juga tak rasa malu dan tidak kisah diejek rakan. Saya bersyukur
kerana ibu bapa memahami keinginan saya dan masih membeli susu untuk
saya sehingga sekarang,” katanya.
Sementara itu, ibu Farah Sauffiah, Latifah Ariffin, 47, berkata, dia
memperuntukkan RM80 sebulan membeli susu tepung untuk anaknya itu.
“Anak saya akan menghabiskan susu tepung sebanyak dua kilogram setiap
bulan. Kos ini tidak termasuk botol susu yang perlu diganti baru.
“Pernah sekali saya tidak membeli susunya dengan harapan dia berhenti
menyusu tetapi dia sanggup ke kedai membeli susu dengan duitnya
sendiri,” katanya.
Menurutnya, Farah Sauffiah menghisap susu botol sejak berhenti menyusu badan ketika berusia 5 tahun.
“Sebaik berhenti susu badan, dia menghisap susu botol sehinggalah ke
hari ini walaupun telah dinasihatkan supaya berhenti menyusu.
“Anak saya menyusu hampir setiap jam dan setiap kali mahu tidur, dia
akan pastikan menghisap susu botol sehingga tertidur,” katanya.
Latifah berkata, suaminya pernah membaling botol susu anaknya itu di jalan depan rumah mereka.
“Suami saya bertindak begitu kerana mahu melihat Farah Sauffiah berhenti
menghisap susu botol tetapi malangnya, anak saya sanggup mengutipnya
semula.
“Kami sudah tidak ada cara untuk memberhentikan tabiat Farah Sauffiah
kerana dia masih juga menghisap susu botol sehingga sekarang,” katanya. Menurutnya, pernah sekali mereka berjumpa dengan bomoh tetapi masih menemui jalan buntu.
Bahan:
Meja Bulatku